UiTM buru tiga import baru

Oleh Staff Writer 21 Disember 2018 710
UiTM buru tiga import baru
Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, sedang mencari tiga pemain bagi mengisi kuota pemain import pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Selepas melalui musim yang kurang memberangsangkan tahun ini, tumpuan utama UiTM sudah pasti terarah kepada pembentukan pasukan yang lebih berkualiti.

Di bawah kendalian Ismail yang mempunyai pengalaman luas dalam liga tempatan, UiTM dijangka mampu memberikan kejutan kepada pasukan-pasukan lain.

Bagaimanapun, antara aspek yang menjadi keutamaannya ketika ini adalah memilih tonggak import yang bersesuaian dengan corak permainan pasukan.

Ketika ini, UiTM sudah mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan Brunei, Adi Said, yang sebelum ini mewakili DPMM FC dalam Liga Singapura.

"Barisan pemain tempatan sudah lengkap dan saya hanya menantikan kehadiran pemain import yang bersesuaian.

"Kami mempunyai tiga kuota pemain import yang perlu diisi.

"Disebabkan itu, saya memerlukan beberapa aksi persahabatan," katanya.

UiTM akan mengadakan aksi persahabatan menentang PKNP FC di Manjung, Perak, esok.

Mereka juga akan berdepan Kuala Lumpur di Stadium Cheras beberapa hari selepas itu.

Jelas Ismail, dia menyasarkan untuk mempunyai skuad penuh selewat-lewatnya dalam minggu pertama bulan depan sebelum meneruskan persiapan fasa akhir bagi mempersiapkan pasukan.

"Pemilihan pemain import perlu berlandaskan kepada kemampuan pasukan.

"Kami perlu berbelanja berdasarkan apa yang mampu ditanggung pasukan.

"Bagaimanapun, pemain import tetap menjadi keperluan kami musim depan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen