Pas bermusim mampu milik menjadi taruhan terbaik syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd untuk mengajak seluruh penyokong setia Kelantan kembali memenuhi Stadium Sultan Muhammad IV.

Pengarah urusannya, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari, berharap penjualan pas bermusim itu mulai hari ini mampu memikat hati seluruh penyokong setia Kelantan untuk membanjiri stadium keramat itu sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) berlangsung.

"Berita baik kepada penyokong apabila musim ini, kami tawarkan pakej menarik serendah RM290 (Pakej Merah) untuk tempat duduk terbuka.

"Selain itu, untuk tempat duduk astaka bermula dengan Pakej Hitam untuk tempat duduk A dan G berharga RM690.

"Pakej Perak pula dijual dengan harga RM790 bagi tempat duduk B dan F. Tempat duduk C dan E (Pakej Emas) dijual dengan harga RM990.

"Kami juga ada pakej mewah yang dikenali sebagai Pakej Platinum yang berharga RM2,000 untuk tempat duduk D yang cukup strategik bagi menyaksikan saingan Liga Perdana musim 2020," katanya.

Wan Rakemi, yang turut bertindak sebagai pengurus Kelantan, berkata penyokong setia yang dianggap 'pemain ke-12' adalah pendukung kegemilangan bola sepak di negeri itu menerusi sokongan padu yang mereka zahirkan setiap kali Kelantan beraksi.

"Anda (penyokong) adalah sumber kekuatan semangat perjuangan barisan pemain yang memacu perjuangan Kelantan mengungguli Liga Perdana musim ini, sekali gus layak ke Liga Super musim depan," katanya lagi.

Kredit Foto: Kelantan FA