Pasukan The Red Warriors (TRW) dan Kelantan United (KUFC) perlu memberikan tumpuan mengangkat bakat-bakat muda tempatan bagi menyertai kedua-dua pasukan itu untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas pemain Kelantan dan Kebangsaan era-90, Mohd Hashim Mustapha, 53, berkata penyertaan dua pasukan dari negeri itu dalam Liga Perdana dilihat memberi lebih ruang kepada pemain muda untuk bermain dalam saingan liga yang lebih tinggi.

"Ia satu perkembangan yang baik kepada pemain muda, terutama daripada pasukan Piala Presiden Kelantan untuk ditampilkan beraksi dalam liga yang lebih mencabar.

"TRW sendiri ketika ini menggunakan hampir 100 peratus pemain muda dan diharapkan langkah itu terus dikekalkan musim depan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

Saingan Liga-M sesi 2020 menyaksikan negeri Pantai Timur itu mempunyai dua wakil apabila pasukan KUFC melayakan diri ke saingan Liga Perdana selepas muncul juara Liga M3 musim ini.

Mohd Hashim, yang pernah beraksi dalam skuad kebangsaan di antara 1984 dan 1996, berkata sebagai jurulatih yang membimbing pasukan Piala Presiden Kelantan musim ini, beliau melihat ramai pemain muda yang boleh diserapkan oleh kedua-dua pasukan terbabit.

"Jadi, saya harap baik ketua jurulatih TRW, Yusri Che Lah, mahupun ketua jurulatih KUFC, Zahasmi Ismail, akan menilai pemain-pemain ini dan jangan biar mereka berhenti bermain bola sepak. Buka peluang kepada mereka untuk meneruskan kerjaya," katanya.

Tambahnya, begitu juga dengan peluang pemain tempatan negeri itu dan ia diharap satu bonus kepada mereka untuk mendapat tempat dalam Liga-M.

-- BERNAMA