Tolong tetapi tidak bersama -- Annuar

Oleh Ammar Hakim 16 Jun 2020 3060
Tolong tetapi tidak bersama -- Annuar
Itu pendirian bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, yang akan menghulurkan bantuan sedaya mungkin dalam isu tunggakan gaji, tetapi bukan untuk kembali semula ke pucuk pimpinan KAFA. 

Biarpun sudah empat tahun tidak memegang sebarang jawatan dalam badan induk itu, Annuar mengakui masih menghulurkan bantuan untuk meringankan kantung KAFA yang kian susut.

Sebagai bekas presiden, Annuar kesal pasukan lamanya itu kini dalam situasi yang amat tertekan setelah bekas pemain import, Cassio de Jesus dan Bruno Lopez menuntut tunggakan gaji berjumlah RM900,000.

"Sebagai orang Kelantan, sangat sedih dengan kemajuan bola sepak Kelantan. Tanpa sebarang publisiti, saya tetap menghulurkan bantuan, saya telah membantu mereka melunaskan bayaran KWSP. Buat masa ini, saya kini memberikan tumpuan dengan tugas ketika ini bersama Wilayah Persekutuan," kata Annuar.

Walaupun tanpa berselindung masih mempunyai sentimen tinggi terhadap The Red Warrior, Annuar yang kini menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan enggan campur tangan dalam sebarang urusan rasmi KAFA sambil berharap nasib bekas gergasi Pantai Timur itu akan pulih kelak.

"Saya percaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyediakan langkah dan bantuan bagi masalah-masalah yang dihadapi oleh persatuan bola sepak negeri ini."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen