Juara Liga FAM 2016, MISC-MIFA, sudah mengenal pasti tiga pemain import bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu untuk menghadapi kancah Liga Perdana pada tahun depan.

Menurut jurulatihnya, Jacob Joseph, ketiga-tiga tonggak import itu masing-masing dari Serbia, Slovakia serta Indonesia.

Enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan, kelibat mereka dijangka mengukuhkan bahagian pertahanan di samping seorang penyerang.

Jacob turut memberi bayangan hanya 14 pemain daripada skuad musim ini akan dikekalkan bagi mengharungi saingan Liga Perdana 2017.

"Kami sedang membuat persiapan sebab kami sudah kesuntukan masa. Saya mungkin akan mengambil seorang pemain Indonesia untuk membantu," katanya.

Selain itu, MISC-MIFA turut mengadakan sesi ujian pemilihan pemain yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Ia bertujuan mencari pemain yang dianggap sesuai untuk menyarung jersi pasukan itu musim hadapan.

Bagaimanapun, Jacob mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain yang berkualiti kerana rata-ratanya sudah dipancing pasukan yang mempunyai kewangan lebih kukuh.

"Ada 100 lebih pemain datang hari ini tetapi mereka tidak mempunyai kualiti. Anda tahulah, MIFA mempunyai bajet yang kurang dan pemain-pemain yang ada nama ini tidak akan datang untuk pemilihan. Kebanyakan pemain yang saya ambil adalah daripada skuad Piala Presiden," tambahnya.

MISC-MIFA mempunyai masa kira-kira tiga bulan untuk memantapkan pasukan sebelum saingan Liga Perdana membuka tirai 12 Februari depan.