Pemain tengah Kuala Lumpur, Irfan Zakaria, mahu memastikan pasukannya meraih kemenangan ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam perlawanan terakhir bagi mengesahkan kejuaraan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, Jumaat ini.

Bagi Irfan, dia dan rakan sepasukan sedar hanya kemenangan mampu mencerahkan harapan skuadnya untuk mengesahkan kejuaraan.

Kuala Lumpur dan Terengganu kini terikat 47 mata tatkala skuad warga kota itu berada di atas hanya menerusi perbezaan jaringan.

"Kami memang sasarkan kemenangan kerana kami berusaha untuk ke Liga Super dengan bergelar juara.

"Kami akan pergi untuk melakukan yang terbaik demi mendapatkan tiga mata," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, enggan memberi tekanan buat pemain untuk aksi menentang JDT II.

Bekas pengendali Timor-Leste itu optimis pasukannya mampu meraih keputusan positif memandangkan sasaran ke Liga Super sudah pun dicapai.

"Ini adalah perlawanan yang sukar tetapi kami tidak meletakkan tekanan kepada mereka (pemain). Kami perlu menikmati perlawanan.

"Ketika kali pertama bercakap dengan mereka, objektif yang kami letakkan adalah mara ke Liga Super dan juga muncul juara. Itu komitmen kami dan kami akan melakukan dengan terbaik," katanya.