Terengganu FC (TFC) II tidak akan membenarkan juara Liga Perdana, Sabah, 'berpesta' dalam aksi penutup di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Sebaliknya, skuad bimbingan Tengku Hazman Raja Hassan itu bertekad menamatkan rentetan kekalahan dalam dua perlawanan terakhir, sekali gus memperbaiki kedudukan liga.

Menurut Tengku Hazman, biarpun tempang tanpa beberapa tonggak, TFC II menjanjikan perlawanan yang sukar dalam kunjungan Sabah ke Kuala Terengganu itu.

"Walaupun Sabah turun dengan reputasi selaku juara Liga Perdana, kami tidak akan memberi jalan mudah kepada mereka.

"Kesempatan beraksi di tempat sendiri dalam perlawanan terakhir perlu dimanfaatkan untuk mencatat kemenangan," kata bekas kapten skuad negara itu.

Pemain tengah, Marcel N'Guessan, kembali memperkuatkan TFC II setelah terlepas aksi bertemu Sarawak dan Selangor United minggu lalu akibat kecederaan buku lali.

Namun, persiapan juara Piala Cabaran 2018 itu dijejaskan kecederaan pemain tempatan melibatkan Mohd Haidhir Suhaini dan Mohd Ridzuan Razali.

"Kami juga tidak dapat menggunakan khidmat Abdul Shukor (Jusoh) dan bek tengah (Serhii) Andrieiev yang bersama skuad Liga Super, TFC.

"Jentera serangan diharap lebih berfungsi selepas dilihat merencatkan rentak pasukan musim ini," tambah Tengku Hazman.