Selepas mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan, Terengganu kini memasang hajat seterusnya untuk muncul juara Liga Perdana yang berbaki satu perlawanan.

Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, menjelaskan walaupun kelebihan jaringan berpihak kepada pendahulu, Kuala Lumpur, dia tetap menaruh kepercayaan untuk menjulang trofi bersama skuad itu.

“Liga Super adalah di mana Terengganu sepatutnya berada dan saya berbangga dengan persembahan yang ditunjukkan pemain-pemain.

“Kini matlamat ialah nak jadi juara. Kejayaan musim ini akan lebih manis dengan menduduki kedudukan teratas,” ujarnya.

Terengganu kembali ke saingan utama Liga Super 2018 selepas menang bergaya 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) FA di Kuala Terengganu, malam tadi.

Irfan kini akan mempersiapkan pasukannya untuk perlawanan terakhir liga menentang pasukan di tangga keempat, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), 26 Oktober ini.

“Semua pemain akan dibawa ke Ipoh, kami akan beraksi tanpa tekanan. KL juga akan bertandang ke Johor Darul Ta’zim (JDT) II, apa-apa boleh berlaku dalam perlawanan terakhir itu,” tambah Irfan lagi.