TERENGGANU II 2 SABAH 1

Terengganu II menutup tirai Liga Perdana 2019 dengan kemenangan 2-1 ke atas juara baru, Sabah, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Pemain import, Bruno Suzuki, mula mencemaskan pihak lawan pada minit ke-14 tetapi penjaga gol Sabah, Robson Rining, menyelamatkan situasi satu lawan satu itu.

Memasuki minit ke-25, Terengganu II mengatur gerak menerusi percubaan Muhd Zueasyraf Zulkiefle dari luar kotak penalti yang sekadar tinggi melepasi sasaran.

Sabah memperkemaskan rentak, malangnya bola sepakan leret Ahmet Atayev (m-39) dikeluarkan pertahanan Terengganu II ketika penjaga gol sudah tertewas.

Gol yang dicari-cari akhirnya menjelma buat Terengganu II melalui jaringan Mohd Haidhir Suhaini dari sudut sukar menewaskan Robson dalam masa tambahan babak pertama.

Pemain lincah Terengganu II, Mohd Ridzuan Razali, menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-54, namun Sabah tidak menunjukkan tanda-tanda berputus asa.

Selepas mensia-siakan peluang terbaik pada minit ke-61, Aguinaldo Da Veiga menebus kehampaan dengan gol pertama Sabah pada minit ke-63 untuk merapatkan jaringan 1-2.

Palang gol kemudian menghalang hasrat Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi percubaan lencong Maxsius Musa dari sebelah kiri.

Terengganu II berjaya mengekalkan kelebihan 2-1, sekali gus membaiki kedudukan pada hari terakhir dengan melonjak ke tangga kelima ihsan 30 mata.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Keputusan lain:

KELANTAN 2 UKM 0

PDRM 1 PULAU PINANG 2

SARAWAK 3 SELANGOR UNITED 2

UITM 1 NEGERI SEMBILAN 2