Pengendali Terengganu FC ll (TFC ll) Tengku Hazman Raja Hassan mengakui 'jodohnya' bersama pasukan bola sepak itu bakal berakhir hujung bulan ini.

Justeru, dia yang merupakan bekas pemain skuad Projek Olimpik negara bersedia untuk melatih pasukan baru di pentas Liga Perdana atau berkhidmat sebagai pembantu jurulatih dalam Liga Super.

"Perkara itu telah diputuskan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Rabu lalu dan saya dengan penuh hormat serta akur menerima keputusan tersebut.

"Setakat ini saya belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan kerana perkara ini (penamatan kontrak) masih baru," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Menurut Tengku Hazman, dia tidak menolak kemungkinan kegagalan TFC ll mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran yang dimenangi musim lalu menjadi punca kepada 'perpisahan' itu.

Bagaimanapun, dia mahu terus melupakan episod lalu dan memberi fokus kepada hala tuju kerjayanya, musim depan.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu mula melatih TFC ll sejak Ogos tahun lalu dan berjaya membawa pasukannya menjulang gelaran juara edisi sulung Piala Cabaran.

-- BERNAMA

Kredit foto: MFL