TCFC tetap tidak dibenarkan beraksi

Oleh Staff Writer 28 November 2018 1045
TCFC tetap tidak dibenarkan beraksi
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mendedahkan juara Piala FAM, Terengganu City FC (TCFC), kekal tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Perdana 2019 selepas berdepan isu tunggakan gaji yang serius.

Pengurusan TCFC menubuhkan pasukan baru yang dikenali selbagai Langkawi Football Club (LFC), baru-baru ini.

Status penubuhan pasukan itu masih belum jelas sama ada masih bertindak sebagai TCFC atau satu entiti baru disebabkan penggunaan logo yang sama.

Namun, Stuart menegaskan pendirian FAM tidak berubah dalam soal itu dan tiada jalan pintas untuk ke Liga Perdana.

"Kami telah memutuskan untuk tidak membenarkan TCFC beraksi dalam Liga Perdana disebabkan tunggakan gaji.

"Pertukaran nama daripada TCFC ke LFC tidak akan melepaskan mereka daripada melunaskan tanggungjawab terhadap isu-isu yang berkaitan.

"LFC tidak akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan. Itu jaminan saya," katanya.

Tambah Stuart, sekiranya pengurusan TCFC mampu menyelesaikan tunggakan gaji dalam masa terdekat, FAM masih perlu menilai kekuatan kewangan pasukan itu.

Justeru, amat sukar buat FAM mencadangkan TCFC sebagai calon ke Liga Perdana kepada Malaysia Football League (MFL) berdasarkan rekod kewangan buruk dalam beberapa musim lalu.

"FAM dan MFL bertanggungjawab untuk memastikan kestabilan setiap pasukan daripada aspek kewangan.

"Jika mereka melunaskan tunggakan tersebut, kami masih perlu memantau kestabilan kewangan pasukan itu di masa akan datang," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen