Bekas pertahanan kental The Red Warriors (TRW), Amiridzwan Taj Tajuddin, mengingatkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengenai tunggakan gajinya yang berjumlah RM167,304 yang belum dilangsaikan sehingga kini.

"KAFA juga tidak menghormati Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mac lalu yang mengarahkan persatuan itu membayar tunggakan gaji kepada saya dan bekas pegawai, Mohd Hisham Jainudin, berjumlah RM11,166.

"Lebih mengecewakan, KAFA juga tidak pernah menghubungi saya untuk duduk berbincang bagi menyelesaikan masalah ini.

"Saya tidaklah kejam untuk meminta KAFA menyelesaikan semua tunggakan gaji, namun boleh mengadakan perbincangan bagi mencari kaedah terbaik membuat pembayaran itu," ujarnya.

Taj, yang kini beraksi untuk Kelantan United FC (KUFC), berharap KAFA tidak hanya berfikir untuk melunaskan tunggakan gaji bekas pemain import sebaliknya ramai juga pemain tempatan yang mengalami nasib sama.

"Apa yang diketahui melalui media, KAFA sibuk melancarkan Tabung Selamatkan Bola Sepak Kelantan untuk membayar tunggakan gaji pemain import, Cassio De Jesus, Bruno Lopes dan Alaeddine Bouslimi, sebagaimana yang diarahkan FIFA.

"Mana tabung derma untuk pemain tempatan? Kalau diikutkan, kes saya dan jurulatih, Mohd Hisham, perlu diselesaikan dahulu oleh KAFA.

"Saya ada komitmen keluarga yang perlu dijalankan. Harap KAFA tidak memberi sebarang alasan dan boleh melunaskan gaji tertunggak itu.

"Saya juga dengar KAFA diberikan masa sehingga 30 Jun ini oleh FAM untuk menyelesaikan segala tuntutan pemain tempatan. Saya sabar menunggu sehingga tarikh itu dan tengok apa yang akan berlaku selepas itu,"ulasnya.

Taj, yang juga bekas pemain PKNS FC, berharap terma persetujuan bersama yang dicapai untuk bayaran ansuran selepas rundingan tidak digunakan untuk mempermainkan pemain demi keuntungan sebelah pihak sahaja.