Dua tonggak senior UITM FC, Mohd Syafiq Mokhtar dan Raslam Khan, berharap mampu untuk membawa pasukan mereka beraksi dalam Piala Malaysia musim 2017 selain memburu kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Perdana.

Syafiq, yang bakal menginjak usia 28 tahun kekal setia bersama UITM buat musim kelima, menjadikan dia pemain paling senior dalam pasukan.

Selepas lega memastikan UITM kekal dalam Liga Perdana pada aksi terakhir musim ini, Syafiq berharap UITM mampu untuk lebih konsisten sepanjang saingan liga.

"Setiap pasukan pastinya akan menampilkan pemain baru untuk setiap tahun dan akan membuat pelaburan yang cukup besar untuk memantapkan lagi pasukan.

"Kami bersikap realistik kerana kebanyakan pemain UITM merupakan pelajar yang menunggu untuk menyambung pelajaran dan mungkin pemain luar tidak ramai menyertai UITM.

"Kami tidak meletakkan sasaran untuk muncul juara tetapi tidak mustahil jika semua beraksi sebagai satu pasukan, kami mampu untuk memberikan permainan terbaik," jelas Syafiq.

Sementara itu, Raslam pula melihat kehadiran ramai muka baru untuk musim depan mampu menjana sesuatu yang lebih positif kepada UITM.

Antara beberapa muka baru terbabit ialah penjaga gol, Afiff Aizad Azman dari Negeri Sembilan dan Nursalam Zainal Abidin dari Pulau Pinang.

"Ada perubahan dan pembaharuan yang coach lakukan untuk musim 2017 dan ia baik untuk pasukan.

"Kami perlu lebih fokus untuk musim depan dan memberikan aksi yang lebih baik daripada musim ini," ujar Raslam.