Empat muka baru yang dipanggil menyertai latihan fasa pertama skuad bola sepak wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur digugurkan.

Empat pemain terbabit ialah Rosdianah Adeline Jerus, Siti Rohani Sapthu, Dhiya Fatihah Ahmad Razali dan Sanizah Dualin.

Ketua jurulatih, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, berkata beliau terpaksa menggugurkan empat pemain berkenaan atas beberapa faktor termasuk kecederaan.

"Selain itu, pemain terbabit belum mencapai tahap diharapkan serta saiz fizikal yang kurang sesuai," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata 21 pemain yang masih kekal dalam skuad ialah Yasrikalaura Tumas; Usliza Usman; Haindee Mosroh; Asma Junaidi; Shereilynn Elly Pius; Jaciah Jumilis; Dadree Rofinus; Masturah Majid; Eslisah Esar; Malini Nordin; Angela Kais; Nur Haniza Saarani; Roszaini Bakar; Nurul Azurin Mazlan; Nur Athirah Farhanah Zairi; Marcella Angela Parais; Fedalliah Claritta Jaimin; Puteri Nor Alisa Wilkinson; Nor Atikah Abdul Wahab; Anis Aisyah Asiati dan Nor Athirah Mamat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Asyraaf, berkata kesemua 21 pemain yang masih kekal akan diterbangkan ke Nepal bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang skuad negara berkenaan, Sabtu ini.

"Bagi saya, perlawanan ini sangat berguna untuk menilai sejauh mana perkembangan pasukan ini selain ingin melihat keberkesanan taktikal yang saya cuba terapkan.

"Ia (perlawanan persahabatan bertemu Nepal) juga penting untuk menilai kemampuan lima pemain yang baru diserapkan dalam skuad kebangsaan," katanya sambil menambah perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 'A' itu akan berlangsung di Kathmandu.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua 21 pemain berkenaan juga akan terus dipanggil untuk menjalani latihan fasa seterusnya pada Januari depan.

"Saya juga akan cuba mencari beberapa lagi pemain berbakat menerusi kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) yang akan berlangsung pada Januari serta Piala Tun Sharifah Rodziah pada Mac tahun depan," katanya lagi.