Stadium Hang Jebat saksi kejayaan MU

Oleh Shaiful Shamsudin 22 Oktober 2016 1
Stadium Hang Jebat saksi kejayaan MU
MELAKA UNITED 1 SIME DARBY 1

Melaka United (MU) tetap berpesta untuk menjulang trofi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat pada malam ini meskipun diikat Sime Darby 1-1. 

Penyokong melimpahi Stadium Hang Jebat bagi meraikan detik pasukan kesayangan mereka meraikan kempen penuh gemilang mereka musim ini setelah kali terakhir menjuarai liga 33 tahun lalu. 

Anak buah Mat Zan Mat Aris memiliki dua peluang keemasan untuk memecah kebuntuan gol pada babak pertama, namun kedua-duanya disia-siakan. 

Sime Darby, yang tersingkir ke Liga FAM musim depan, sekali-sekala mengancam kubu tuan rumah, turut mempunyai peluang, namun digagalkan dengan penyudah tumpul. 

Melaka cuba meningkatkan tempo permainan sebaik permainan pada baki 45 minit seterusnya, bagaimanapun jentera serangan mereka berdepan kesukaran untuk mencipta ruang. 

Penyerang terbanyak Liga Perdana musim ini dengan 24 gol, Ilija Spasojevic, sukar memecah kekebalan benteng pelawat sehingga dia mengalami sedikit kecederaan di kepala. 

Penyerang Sime Darby, Mateo Roskam, menyebabkan Stadium Hang Hebat sepi seketika apabila meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-79. 

Melaka, bagaimanapun, mampu menarik nafas lega apabila mendapat tendangan percuma pada minit ke-90, yang disempurnakan oleh Saiful Mustafa. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen