Kempen Liga Perdana musim ini ditutup hebat dengan keputusan-keputusan dramatik perlawanan terakhir, terutama aksi yang melibatkan tiga pasukan teratas.

Walaupun di atas kertas PKNP FC gagal mencari slot ke Liga Super pada musim depan, mereka tetap bersemangat untuk mencalar kelebihan Terengganu dengan kemenangan 3-1, sekaligus membuatkan Skuad Penyu terlepas meraih status juara liga.

Keputusan itu membolehkan Kuala Lumpur yang tewas di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT II) di Pasir Gudang dinobatkan selaku juara dengan kelebihan jaringan gol walaupun terikat 47 mata.

"Tiada permainan kami nak kalah. Tetapi malam ini salah kami sendiri. Ini peluang kami sebenarnya, bila kami dapat tahu Kuala Lumpur ketinggalan di Pasir Gudang.

"Walaupun sudah mencapai sasaran layak ke Liga Super, kami sedikit kecewa tumpas dalam perlawanan terakhir dan terlepas gelaran juara," kata penolong ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Sementara itu, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, jelas berpuas hati apabila menundukkan Terengganu di laman sendiri.

"Kami bermain di Ipoh dan apa jua situasi atau keputusan perlawanan malam ini tidak menjejaskan kami. Oleh itu, saya jelaskan kepada pemain, yakin dan hadiahkan perlawanan ini untuk diri sendiri.

"Inilah masanya untuk memahatkan memori indah di sini (Stadium Perak) kerana ia mungkin laman terakhir kita," ujar Abu Bakar.

PKNP FC menutup tirai Liga Perdana musim 2017 dengan cemerlang di tempat ketiga selepas ketinggalan satu mata di belakang Kuala Lumpur dan Terengganu.