Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, mengesahkan akan berlaku rombakan besar-besaran dalam skuad ibu kota itu dengan hanya 10 pemain akan dikekalkan untuk menghadapi Liga Perdana tahun depan.

Beliau berkata tonggak tempatan yang digugurkan antaranya pemain pertahanan, Azlan Zainal, Nazri Ahmad; pemain tengah, Rashid Aya, Halim Zainal; serta penyerang, A. Thamil Arasu.

Selain itu, tiga pemain import yang dikeluarkan ialah Diego Inostroza, Jonathan Zorilla dan Morro.

Nokman menjelaskan pemain terbabit tidak dilanjutkan kontrak bersama skuad Kuala Lumpur kerana gagal menunjukkan peningkatan prestasi selain faktor kecederaan.

Tambah Nokman, pada musim depan skuad itu akan berwajah baru dengan dua pemain import dari Argentina sudah dikenal pasti untuk mengisi kekosongan.

“Kami telah menawarkan kontrak kepada dua pemain dari Argentina, yang akan tiba hari ini. Kemudian, kami perlu mengambil satu kuota Asean di bahagian pertahanan."

Sementara itu, persatuan tersebut turut dalam usaha untuk mendapatkan pemain tempatan yang mampu mengimbangi kekuatan pasukan lain bagi misi layak ke Liga Super 2018.

“Sasaran kami adalah untuk melayakkan diri ke Liga Super. Ia adalah sasaran tahun ini tetapi kami gagal. Jadi, kami akan sekali lagi berusaha untuk mendapatkannya tahun depan.”

Kuala Lumpur menamatkan kempen Liga Perdana tahun ini di kedudukan kelima, berkongsi mata dengan Negeri Sembilan yang berada di tempat keempat.