Skuad Jang optimis ke Liga Super 2021 

Oleh Penulis Jemputan 30 Disember 2019 836
Skuad Jang  optimis ke Liga Super 2021 
Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) menyasarkan kelompok dua terbaik bagi mengubati kekecewaan musim lalu untuk melayakkan diri ke Liga Super 2021. 

Tujuh pemain baru bakal memperkuatkan jentera skuad Jang yang menyaksikan kehadiran bekas pertahanan berpengalaman PKNS, Shahrom Kalam.

Tutut menyertai pasukan ialah bekas pemain tengah PDRM, Shahurain Abu Samah, di samping Ahmad Azriddin Rosli (UiTM FC), Mohd Arip Amiruddin (UKM FC), Muhammad Nazrul Kamaruzaman (Selangor United), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak FA) dan Che Mohamad Safwan Hazman Che Hassan (Pulau Pinang).

Selain itu, empat pemain import  yang terdiri daripada trio import Brazil, Matheus Fernandes Vila Real, Jose Almir Barros Neto dan Igor Carneiro Luiz selain Shunsuke Nakatake dari Jepun dikekalkan atas dasar banyak menjaringkan gol dalam penampilan dalam liga dan Piala Malaysia untuk kontrak mereka berlanjutan semusim lagi.

"Kami amat berpuas hati dengan prestasi pasukan musim lalu. 

"Kami di tempat keenam dengan memungut 29 mata, dibezakan empat mata dengan pasukan di tempat kedua. 

"Kami melepaskan peluang untuk menang dalam perlawanan terakhir ketika bertemu UiTM FC yang boleh melayakkan kami ke Liga Super apabila berkongsi satu mata. 

"Saya berasakan ia satu pencapaian yang bagus tetapi (misi kami) tidak kesampaian," kata Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri di Seremban hari ini.

PBNS turut mengumumkan pelantikan bekas pengendali skuad Piala Presiden, Sazali Saidon, sebagai ketua jurulatih pasukan. 

Sazali turut mengakui wujud tekanan, namun dia optimis bakal ada hasil memberangsangkan daripada anak buah kendaliannya. 

"Sebagai jurulatih bola sepak, tekanan akan sentiasa ada.

"Ia boleh mendorong kami berusaha lebih kuat lagi untuk mencapai sasaran layak ke Liga Super 2021. 

"Ia tidak mustahil selagi kami dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk musim ini," kata Sazali.


Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen