Skuad Jang giat bentuk keserasian 

Oleh Staff Writer 9 Februari 2020 372
Skuad Jang giat bentuk keserasian 
Ketumpulan di bahagian jentera serangan dan memperkasakan benteng menjadi fokus utama pengendali Negeri Sembilan, Sazali Saidon, bagi memanfaatkan tempoh tiga minggu sebelum saingan Liga Perdana 2020 bermula. 

Bekas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan itu mengakui anak buahnya masih belum di tahap keserasian terbaik sepanjang menghadapi saingan pramusim sejak awal tahun ini. 

Bagaimanapun, Sazali menganggap masalah itu mampu diperbaiki dalam tempoh tiga minggu sebelum liga bermula apabila barisan pemainnya mempamerkan semangat yang baik. 

Ia ibarat rombakan skuad buat Sazali yang terpaksa akur dengan penghijrahan beberapa tonggak, sebaliknya skuad Jang bakal turun dengan 80 peratus khidmat pemain muda. 

"Kami kehilangan tiga tonggak utama musim lalu apabila Aroon Kumar berpindah ke Petaling Jaya (PJ) FC, Osman Yusoff pula berpindah ke Felda United manakala Muhammad Ferris Danial Mat Nasir ke Melaka. 

"Jadi saya harap pemain baru yang digabungkan dengan pemain senior yang ada boleh mencipta keserasian dengan segera," katanya dalam Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain di Paroi, hari ini. 

Dalam pada itu, bekas pemain PKNS FC, Shahrom Kalam, bertekad memburu slot ke Liga Super pada musim depan untuknya kembali beraksi dalam kancah utama berkenaan. 

"Negeri Sembilan sebuah pasukan yang baik dan mempunyai motivasi naik ke Liga Super.

"Kami mempunyai matlamat yang sama dan kami sangat sangat komited untuk merebut tiket ke Liga Super pada musim 2021," kata bekas ketua pasukan kebangsaan itu.



Editor: Shaiful Shamsudin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen