Enam bulan tak bola sepak, pemain paling veteran dalam Liga Malaysia (Liga-M), Shukor Adan, yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur memberi bayangan belum berhasrat mengundurkan diri.

Pertahanan kelahiran Melaka itu bakal menjangkau umur 42 tahun jika meneruskan karier pada musim depan.

Namun, krisis COVID-19 memberi ruang kepadanya untuk mempertimbangkan hala tujunya sebagai pemain.

"Ini melibatkan keselamatan dan nyawa, apa yang pihak kerajaan buat (Perintah Kawalan Pergerakan) , ia harus kita terima.

"Ia satu pengalaman yang baik dan akan dikenang sampai bila-bila," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dalam hari pertama latihan skuad Warga Kota baru-baru ini.

Bekas ketua pasukan kebangsaan mengakui terlintas menjadikan skuad yang beraksi dalam Liga Perdana itu sebagai destinasi terakhirnya sebelum menggantung but, namun tidak menolak untuk terus beraksi sekiranya kudratnya terus ditagih.

"Boleh difikirkan balik, dalam tempoh enam bulan ini, saya tidak buat apa-apa.

"Saya sempat bercakap dengan jurulatih (Muhammad Nidzam Adzha Yusoff) kalau tahun ini saya tidak dapat lagi menyesuaikan diri dengan bola sepak, saya mungkin mengundurkan diri.

"Jadi selepas berehat panjang, terpulang kepada pihak persatuan sama ada mahu menyambung kontrak saya atau tidak."