Ketua pasukan Felda United, Shukor Adan, berasa cukup bertuah dapat bergandingan dengan pemain import berpengalaman, Thiago Junior Aquino, dan yakin dia dapat membentuk kombinasi mantap di bahagian pertahanan musim ini.

Shukor mengakui dia semakin serasi bekerjasama dengan bekas pertahanan Perak itu selepas melalui lima perlawanan persahabatan, termasuk ketika menentang MISC-MIFA.

Benteng Felda hanya dibolosi dua gol setakat ini dan Shukor melihat pengalaman Thiago sepanjang tiga musim di Perak akan menjadi aset terbaik kepada pasukan sambil menyifatkan beberapa kelebihan seperti kekuatan tandukan dan kepantasan membaca gerakan lawan dijangka membuatkan kubu Felda lebih sukar bolos.

“Tidak kira di dalam atau di luar padang, Thiago adalah seorang ketua yang bagus. Dia cepat mesra bersama pemain-pemain tempatan dan saya yakin dia sudah biasa dengan keadaan itu sejak berada di Perak.

“Kehadiran Thiago dalam pasukan Felda menguatkan pasukan sebagai satu keluarga,” kata Shukor.

Sementara itu, jurulatih Felda, B. Sathianathan, yang ditemui turut melahirkan rasa gembira melihat kombinasi kedua-dua pemain berkenaan.

Dia sememangnya mahu kedua-dua pemain terbabit menjadi antara watak berpengaruh dalam perjalanan skuad Felda sepanjang musim 2018.

“Setakat ini, segala-galanya tampak bagus selepas hanya bolos dua gol dalam lima perlawanan.

“Mungkin masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan kami tidak boleh hanya bergantung kepada Shukor dan Thiago,” ujar Sathianathan.