Selepas mengejutkan pasukan pilihan, PJ Rangers, dalam suku akhir Piala FAM, Shahzan Muda sudah tidak sabar untuk kembali ke kancah Liga Perdana dan kini hanya selangkah lagi untuk menjadikan impian mereka satu kenyataan.

Kali terakhir Shahzan Muda beraksi dalam Liga Perdana ialah pada 2010 dan sejak itu, mereka sekadar bersaing dalam Liga FAM.

Mungkin musim 2017 akan menjadi tahun kebangkitan kelab dari Pahang itu dengan UKM FC bakal menjadi halangan terakhir buat mereka dalam pertemuan di Bangi, esok.

Menurut jurulatih berpengalaman, Tajuddin Nor, dia begitu berharap Shahzan Muda menempah slot ke Liga Perdana musim depan.

"Kalau dapat masuk ke Liga Perdana, mungkin kami akan bertanding agar kami dapat membekalkan pemain kepada Pahang.

"Kami mahu menggilap pemain serta berharap mereka mengutip pengalaman berharga dalam Liga Perdana," ujarnya.

Dalam masa sama, Tajuddin masih menghormati kemampuan UKM FC yang disifatkan sebagai skuad berpengalaman.

Walaupun purata umur pemain UKM di antara 22 dan 24 tahun, namun mereka semua cukup serasi sebagai sebuah pasukan kerana telah dikumpulkan bersama sejak beberapa tahun lalu.

"Masing-masing mempunyai peluang, namun UKM mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah dan dianggotai ramai pemain berpengalaman.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk bersaing dengan UKM," katanya.