Shahrom yakin capai misi bersama skuad Jang 

Oleh Staff Writer 31 Disember 2019 111
Shahrom yakin capai misi bersama skuad Jang 
Bekas ketua pasukan PKNS FC, Shahrom Kalam, berhasrat membantu pasukan barunya, Negeri Sembilan, mencapai objektif dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2020 dalam misi layak ke Liga Super. 

Sebelum ini, khidmat bekas pertahanan Felcra United itu membuahkan hasil apabila membawa pasukan berkenaan naik ke Liga Super pada 2018. 

Justeru, pengalaman sedemikian akan menjadi bekalannya sempena musim depan. 

Pemain berusia 34 tahun itu optimis dengan skuad kendalian ketua jurulatih, Sazali Saidon, sekali gus meletakkan sasaran peribadi untuk membantu pasukan Negeri Sembilan layak ke Liga Super 2021. 

Sebelum menyertai skuad Jang, bekas tonggak kebangsaan itu turut berkesempatan berkhidmat bersama Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan PKNS FC yang menjadikannya pemain berpengalaman. 

"Saya akan curahkan segala yang ada untuk membantu pasukan dan membimbing pemain muda seperti mana pernah membawa Felcra ke Liga Super sekalipun tanpa pemain-pemain bintang. 

"Dengan pemain-pemain senior yang ada, kami mampu layak ke Liga Super," katanya. 

Bagaimanapun, Shahrom tidak menafikan bakal menghadapi saingan sengit dalam Liga Perdana musim depan berikutan kehadiran empat kelab sokongan, iaitu Johor Darul Ta'zim (II), Terengganu FC II, Perak II dan Selangor II. 

"Pasukan ini 70-80 peratus terdiri daripada pemain lama manakala muka baru adalah tujuh orang. 

"Saya pernah bergandingan dengan beberapa pemain lama sementara pemain muda boleh dibimbing, ia bukan satu isu."


Editor: Shaiful Shamsudin ​

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen