Selepas dikaitkan dengan beberapa pasukan, tonggak pertahanan kebangsaan, Shahrom Kalam, akhirnya mengesahkan penyertaan bersama pendatang baru Liga Perdana musim depan, Felcra FC.

Bagi bekas pertahanan Perak, Selangor dan Kuala Lumpur itu, Felcra adalah pasukan yang mempunyai wawasan walaupun akan beraksi kali pertama dalam Liga Perdana.

Difahamkan, semalam, Shahrom mengikat kontrak selama dua tahun bersama Felcra dan turut merancang mengambil kursus kejurulatihan Lesen B dalam tempoh tersebut.

"Ini adalah cabaran yang baru dalam karier saya. Saya yakin dapat membantu Felcra selain menaikkan jenama mereka.

"Lagipun, Felcra mempunyai cita-cita yang tinggi dan saya berasakan mampu menjadi salah satu tonggak penting dalam skuad Felcra," kata bekas ketua pasukan The Bos Gaurus pada musim lalu itu.

Skuad Felcra FC turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain Harimau Muda dan Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Fandi Othman.

Seperti Shahrom, Fandi turut optimis Felcra mampu memberi cabaran hebat untuk meraih tiket ke Liga Super.

"Dengan pengalaman yang dimiliki pemain seperti Shahrom Kalam, kami akan dapat bekerjasama dan membantu pemain muda di Felcra.

"Pemain muda ini amat berkualiti, cuma apa yang membezakan mereka adalah pengalaman bermain.

"Kami akan membuktikan sesuatu dalam liga nanti, Insya-Allah," ujar pemain serba boleh itu.