Selangor United menyelamatkan karier bekas pemain Kelantan dan Selangor, Rizal Fahmi Rosid, yang hampir tidak mendapat pasukan pada musim 2019 selepas digugurkan Negeri Sembilan.

Tiada perkataan selain syukur buat Rizal yang sebenarnya sudah hampir berputus asa apabila gagal mendapat sebarang pasukan.

Menganjak umur 33 tahun, pengalaman Rizal bukan satu jaminan akan ada majikan mahu mengambil khidmatnya ketika bilangan pasukan semakin berkurangan musim depan.

Namun, panggilan saat-saat akhir Selangor United yang diterima selain Abdul Hadi Yahya membuatkan karier Rizal masih bernafas di pentas Liga Malaysia.

"Saya bersyukur kerana dapat beraksi untuk Selangor United dan meneruskan karier sebagai pemain bola sepak," kata Rizal.

Sementara itu, dia turut meluahkan rasa lega isu tunggakan gaji dengan Negeri Sembilan telah selesai.

Situasi itu memberikan satu motivasi tambahan buat dirinya membantu Selangor United selaku pendatang baru Liga Perdana dalam usaha melakar kejutan kepada pencabar lain.

"Negeri Sembilan telah menyelesaikan tunggakan gaji saya pada bulan November, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan."