Selangor United kekal 14 nama, serap pemain muda

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2018 1354
Selangor United kekal 14 nama, serap pemain muda
Pendatang baru Liga Perdana 2019, Selangor United, tidak mahu terlalu ghairah berbelanja seperti kebanyakan pasukan lain apabila mengambil keputusan mengekalkan 14 pemain dan menyerapkan pemain ​skuad Piala Presiden.

Pengurus pasukan, Mohd Firdaus Mohamed, mengambil pendekatan mahu membalas budi atas kejayaan membantu Selangor United muncul naib juara Piala FAM tahun ini.

Walaupun sedar tindakan itu berisiko, Firdaus menjelaskan kebanyakan pemain yang dikekalkan pernah ada pengalaman beraksi di pentas Liga Super dan Liga Perdana sebelum ini.

"Sebenarnya, kualiti yang ada pada pemain kami bagi musim ini sama dengan tahap Liga Perdana. Apabila mengadakan aksi persahabatan dengan skuad Liga Perdana tahun ini, kami hanya tewas akibat penggunaan pemain import. Kualiti pemain tempatan tetap sama," katanya.

Dalam masa sama, Firdaus berpendapat nilai gaji diterima sebahagian pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia ketika ini tidak berpatutan dengan kualiti yang mereka miliki.

"Kami akan lihat keperluan pemain itu sendiri. Jika mereka layak menerima gaji sebegitu, kami tiada masalah. Ada pemain yang menerima gaji tinggi tetapi prestasi semasa tidak mencerminkan kelayakannya itu.

"Bagi kami, Selangor United akan menilai berdasarkan prestasi."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen