Tindakan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memborong 'ubi muda' negara tampak mengundang masalah kepada Selangor II susulan jadual padat yang bakal diharungi skuad bawah 19 tahun negara menjelang Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Di sebalik usaha murni FAS untuk memastikan pemain muda negara mendapat peluang beraksi, tindakan merekrut ramai pemain muda terbaik di Malaysia itu tampak mengundang masalah kepada persatuan itu.

Ini susulan rata-rata pemain yang dijangka membarisi skuad Selangor II dalam cabaran Liga Perdana juga berdepan kemungkinan untuk dipanggil menyertai skuad remaja kebangsaan itu.

Ia bagi kem latihan pusat dan beberapa kejohanan jemputan yang akan disertai skuad kendalian Brad Maloney itu bermula Mac depan menjelang pusingan akhir Kejohanan AFC B-19.

"Kami akan mengadakan perbincangan dengan pasukan liga tetapi adalah penting untuk pemain muda ini menimba pengalaman dalam Liga Perdana sebagai perkembangan individu.

"Pasukan kebangsaan akan meraih manfaatnya pada masa akan datang," kata jurulatih Selangor II, Michael Feichtenbeiner.

Pengurus skuad B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, berpandangan: "Saya berasakan pasukan liga tiada masalah untuk melepaskan pemain muda kerana semua ini demi negara.

"Kami akan saling bekerjasama rapat bagi memastikan mereka akan melepaskan pemain untuk fasa latihan."

Untuk rekod, FAS merekrut seramai 28 pemain daripada kumpulan pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Malah, ia juga membabitkan seramai 15 pemain yang berada dalam skuad B-18 negara ketika kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja, November lalu.



Editor: Shaiful Shamsudin