Seks adalah faktor penting bagi pemain bola sepak untuk beraksi cemerlang, kata bekas jurulatih legenda Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamad.

Tegas bekas pengemudi Ngap Sayot yang baharu menerima anugerah Jurulatih Sepanjang Zaman itu, seks penting untuk mengelakkan pemain daripada tertekan.

"Malah, ia membolehkan mereka fokus dan beraksi lebih baik," katanya ketika ditemui di Kuching baru-baru ini.

Awang Mahyan berkata pemain tersohor dunia sentiasa membawa isteri mereka ke mana sahaja bagi meniupkan dorongan dan meleraikan tekanan si suami.

"Ia merupakan salah satu daripada enam 'S' yang perlu ada pada setiap pemain bola sepak. 'S' lain ialah saiz, stamina, skil (kemahiran), speed (kelajuan) dan strengh (kekuatan).

"Ini ramuan saya hingga dapat membina skuad Ngap Sayot pada 1988-1989," katanya lagi.

Menurutnya, biarpun banyak pihak mempertikaikan kaedah latihannya, namun hakikatnya beliau berjaya menjulang nama Sarawak sehingga melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

"Saya pastikan pemain turun berlatih dengan keutamaan dalam perlawanan 11 lawan 11 sesama sendiri.

"Namun, ketika mereka baharu 'panas' dan 'seronok' bermain, saya akan hentikan permainan, malah menamatkan latihan.

"Kenapa? Kerana saya mahu mereka berasa geram," tambahnya.

Awang Mahyan berkata beliau malah memastikan dua hari sebelum perlawanan, pemain diberi rehat dan berlatih ringan.

"Ini kerana tubuh badan yang sama digunakan untuk berlatih dan tubuh badan yang sama untuk bermain. Justeru, ia perlu rehat yang lebih sebelum dikerah untuk aksi sebenar," katanya lagi.

Inilah eksperimen dan inilah keberanian yang dilakukan oleh Sarawak pada eranya.

"Saya berani katakan jurulatih Sarawak sekarang begitu kecut untuk mengadakan tindakan seperti ini.

"Ia punca prestasi Sarawak merudum kerana jurulatih gagal berinteraksi dan berkomunikasi dengan pemain.

"Hasilnya, pemain gagal mengikut arahan," katanya.

Jurulatih-jurulatih tempatan di Sarawak juga kurang yakin dengan diri sendiri dan terlalu memikirkan ketakutan untuk kalah.

"Konsep itu salah. Pemain-pemain kita, walaupun kebolehannya jauh berkurang berbanding dengan pemain lawan, harus ditanam dengan kata-kata semangat bahawa kita sama-sama makan nasi...belum tentu mereka hebat," katanya lagi.

Awang Mahyan merupakan jurulatih yang amat digeruni pada eranya kerana selain terkenal dengan sikap bengis dan garang, beliau merupakan jurulatih yang berani menurunkan semua pemain tempatan dalam era liga bola sepak Malaysia berada di tahap semi-pro.