Ketua jurulatih skuad Liga Perdana Negeri Sembilan, Sazali Saidon, yakin dengan ramuan kombinasi pemain baru dan senior mampu untuk merealisasikan impian skuad Jang kembali ke Liga Super musim 2021.

Selepas sekadar menduduki tangga keenam saingan musim lalu, skuad Jang bertekad untuk memperbaiki pencapaian itu dan kembali ke Liga Super dan percaturan menggabungkan pemain muda dan senior membuatkan Sazali optimis harapan itu mampu dicapai.

"Perancangan awal kami mengadakan latihan pramusim bagi mendapatkan kecergasan pemain dan kombinasi dalam pasukan. Dalam masa sama, beberapa aksi persahabatan bermula bulan depan akan diharungi sebelum bermula saingan Liga Perdana," katanya.

"Seperti pasukan lain, kami mahu ke Liga Super 2021. Hasil gabungan pemain lama dan baru, saya berasa realistik untuk kami ke Liga Super.

"Keempat-empat pemain import musim lalu dikekalkan berdasarkan prestasi sebelum ini. Diharapkan keserasian yang ada membolehkan kami tidak memerlukan masa yang lama untuk membentuk gandingan mantap."


Editor: Nafis Abdullah