Bekas jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Sazali Saidon, dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Rusa bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020.

Perkara itu diumumkan menerusi entri terkini di laman Facebook Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan ia turut disahkan pegawai medianya, Firdaus Bhari, kepada Bernama di Seremban, hari ini.

Menurut PBNS, Sazali sebelum ini diberikan kepercayaan membantu penolong jurulatih Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad, bagi beberapa perlawanan dalam saingan liga musim ini selepas ketua jurulatih pasukan itu, Mat Zan Mat Aris, direhatkan.

Selain Sazali, bekas pemain tengah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shahurain Abu Samah, turut disahkan akan menyarung semula jersi pasukan Hoben Jang Hoben musim depan.

Sebelum ini, Shahurain pernah bersama skuad Rusa pada 2006 hingga 2013 sebelum menyertai Felda United, PKNS dan PDRM.

Dalam pada itu, skuad berkenaan mengekalkan pemain pertahanan senior, Hafiz Zamani Misbah, serta tiga pemain import musim lalu, iaitu pemain kelahiran Jepun, Shunsuke Nakatake, Igor Luiz (Brazil) dan Matheus Vila (Brazil).

-- BERNAMA