Juara Piala FAM, MISC-MIFA, mula mengorak langkah bagi mengukuhkan cabaran dalam saingan Liga Perdana 2017 dengan membuat perancangan awal, termasuk memburu pemain import bagi menghadirkan persaingan kepada pasukan lain.

Walaupun masalah bajet mungkin menjadi halangan kepada MISC-MIFA, faktor itu tidak menghalang jurulatihnya, Jacob Joseph, yang mahu memancing tiga pemain import musim depan.

Optimis dengan kemampuan pemain muda untuk memberi cabaran dalam Liga Perdana, Jacob meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan pertengahan liga.

"Saya hanya mengekalkan 14 pemain yang beraksi pada tahun ini tetapi perkara itu masih belum muktamad kerana ada pemain yang mendapat tawaran lain yang lebih tinggi daripada apa yang MIFA tawarkan.

"Saya mungkin akan mendapatkan khidmat tiga pemain import sahaja. Pemain-pemain tersebut diambil untuk menambah lagi kekuatan pasukan," jelasnya.

Ketua pasukan, K. Premanathan, yang pernah beraksi bersama PKNS dan Pos Malaysia dalam Liga Perdana, bersedia untuk mencurahkan segala pengalaman yang dimilikinya kepada pemain muda.

Mengakui banyak perbezaan di antara kedua-dua liga, pertahanan berusia 28 tahun itu berharap barisan pemain yang dikekalkan dapat pantas menyesuaikan diri dalam saingan Liga Perdana.

"Liga FAM dan Liga Perdana mempunyai banyak perbezaan. Liga FAM menampilkan pemain-pemain muda yang memberikan tentangan sehingga saat-saat akhir.

"Liga Perdana pula membariskan pemain yang berpengalaman, di mana mereka mempunyai pengalaman bagaimana untuk menyerang dan bertahan," kata Premanathan.