Pengendali Selangor, B. Sathianathan, memasang impian melihat satu lagi magis berlaku di Stadium Shah Alam ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Selangor tewas 1-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, dalam perlawanan pertama yang berlangsung sengit Sabtu lalu dan jurulatih itu optimis anak buahnya memiliki keupayaan untuk mengatasi skuad Harimau Selatan itu di Shah Alam.

Sebelum ini, gelanggang keramat itu menjadi saksi kebangkitan luar biasa skuad Gergasi Merah itu apabila menyingkirkan Perak di peringkat suku akhir dengan keputusan agregat 3-2 selepas melakar kemenangan 3-1.

"Saya harap begitulah (kejayaan menewaskan Perak berulang) tetapi saya seorang jurulatih yang realisitik. Saya tahu kalau pemain bersedia dengan baik, kami mampu lakukan kerana ini bola sepak. Apa-apa boleh berlaku meskipun menentang pasukan gergasi. Selangor masih ada harapan (mara ke final).

"Kalau saya tidak percaya dengan kemampuan pasukan dan kejutan yang boleh berlaku dalam bola sepak, saya akan bungkus segala barang-barang dan tidak akan turun ke stadium Sabtu ini," katanya kepada Bernama.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu turut mencabar barisan tengah pasukannya 'mematikan' langkah gandingan bintang JDT, Hariss Harun dan Leandro Velazquez, selepas kelibat dua pemain import itu mengekang penguasaan bola Selangor di bahagian tersebut di Larkin.

"Harris dan Velazquez pemain yang penuh dengan imaginasi dan sangat berpengalaman. Mereka adalah pemain tengah terbaik dalam Liga Malaysia dan saya cabar pemain tengah Selangor untuk lawan mereka di posisi itu," jelasnya.

Sementara itu, Sathianathan berkata sokongan padu penyokong Sabtu ini mampu menjadi pendorong kebangkitan dan mengharapkan Stadium Shah Alam menjadi lautan 'Merah Kuning'.

Selangor merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia apabila merekodkan kejuaraan sebanyak 33 kali dan kali terakhir Selangor muncul juara adalah pada edisi 2015.

-- BERNAMA