Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, dan rakan sejawatannya di Persib Bandung, Robert Alberts, sedia mengetepikan sentimen keakraban apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam Piala Cabaran Asia di Stadium Shah Alam malam esok.

Pertemuan Selangor dan Persib itu memberikan nilai sentimental buat kedua-dua jurulatih berkenaan.

Ia selepas mereka pernah bekerjasama dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekitar 2007.

Ketika itu, Sathianathan memegang jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan manakala Alberts pula memegang peranan sebagai pengarah teknikal badan induk itu.

Kedua-dua individu itu juga antara yang bertanggungjawab mengesan bakat Datuk Ong Kim Swee untuk diketengahkan sebagai jurulatih berkaliber di Malaysia.

Bagaimanapun, kedua-dua jurulatih berpengalaman itu akan bermusuhan untuk tempoh 90 minit di atas padang.

"Saya mahu menang, dia (Alberts) mahu menang, jadi pasukan terbaik akan menang," kata Sathianathan.

"Selagi penyokong dapat rasa nilai hiburan, ia juga amat penting buat kami agar mereka dapat menghargai perlawanan ini.

"Kami mahu keputusan yang baik.

"Persahabatan kami sudah agak lama dan saya berharap persahabatan ini tidak akan terjejas walau apa pun yang terjadi esok," katanya.

Alberts menambah: "Ia amat menarik kerana Selangor sebuah pasukan yang sedang meningkat naik, mereka lebih kuat berbanding sebelum ini.

"Pasukan kami juga sedang dibina, jadi amat penting untuk melihat sama ada kami mampu menandingi Selangor di peringkat ini.

"Saya tahu dia (Sathianathan) seorang pakar taktikal tetapi dia masih tidak mengenali pasukan saya.

"Seperti yang saya kata, kami ke sini tanpa persediaan, jadi kami mahu melakukan kejutan," katanya.

Selain Selangor dan Persib, Piala Cabaran Asia yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut disertai Hanoi FC dan Bangkok United.

Kejohanan selama dua hari itu akan menjadi medan terbaik buat setiap jurulatih untuk mempersiapkan pasukan dan menguji pemain baru.



Editor: Muzaffar Musa