Pengendali baru Sarawak, Ian Andrew Gillan, tidak menolak hakikat bahawa sekurang-kurangnya dua pemain asing akan menguji nasib bersama skuad Ngap Sayot itu selepas 2018 membuka tirai.

Katanya, mereka akan berebut tempat dengan pemain tempatan.

"Kita akan menyaksikan kemampuan mereka dan ketika ini, saya melihat keperluan untuk posisi tengah dan serangan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pra-Krismas di Rumah Kanak-Kanak The Salvation Army di Kuching.

Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir bergantung kepada kemampuan kewangan persatuan dalam membuat penawaran kepada pemain-pemain berkenaan.

Pada musim depan, Sarawak akan beraksi dalam Liga Perdana.

"Tiada sasaran khas diletakkan kepada pasukan muda ini. Kami hanya mahu mereka mampu bersaing dan menang sebanyak mungkin perlawanan.

"Pasukan ini masih muda dan ia memerlukan banyak pendedahan selain bersedia melaksanakan tanggungjawab," ujarnya.

Gillan yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) menjelaskan fokus utamanya adalah untuk pembangunan.

"Saya meletakkan sasaran bahawa Sarawak akan kembali memuncak pada 2020, dengan semua pemain telah matang dan mantap.

"Kami tidak dapat membandingkan pasukan ini dengan Johor Darul Ta'zim (JDT)," tambahnya lagi.

Hampir 80 peratus pemain yang akan menyarung jersi Sarawak telah dikenal pasti, termasuk penjaga gol, Mohd Iqbal Suhaimi, Mohd Muzaimir Abdul Hadi dan Shazlee Ramlee.