Laporan Audit Tahunan 2016 yang tidak lengkap menjadi punca skuad Bujang Senang gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mendapatkan lesen, sekali gus terkeluar daripada senarai pasukan Liga Super pada musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, ketika mengesahkan maklumat itu berkata, pihaknya dimaklumkan tentang keputusan itu dalam mesyuarat Usahasama Lialibiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) hari ini.

"FMLLP menolak rayuan kami berikutan masalah itu, seterusnya menjejaskan harapan kami untuk kekal dalam Liga Super," kata Posa.

Namun, pihaknya mengambil positif keputusan itu kerana skuad Bujang Senang masih dibenarkan bersaing dalam Liga Perdana musim depan.

"Musim hadapan adalah waktu genting untuk mengembalikan kegemilangan pasukan dan kami telah melantik Ian Andrew Gillan untuk menggalas tanggungjawab ini.

"Kami percaya beliau memiliki perancangan dan strateginya sendiri sementara kami menyelesaikan isu yang berbangkit daripada pentadbiran," katanya.

Isu pelesenan skuad Sarawak telah berlarutan sejak Ogos lalu apabila Posa memaklumkan bahawa mereka berhadapan halangan untuk memperoleh maklumat dan dokumen akaun daripada pengurusan Sarawak terdahulu, yang ditadbir oleh FAS FMG Sdn Bhd.

Bagaimanapun isu tersebut selesai menjelang tarikh akhir yang ditetapkan FMLLP, namun maklumat yang diberikan ternyata masih belum memadai.