Bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar Sudar, tidak pernah berhenti berharap untuk kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) biarpun berdepan risiko kesihatan tidak menentu susulan pembedahan tumor di bahagian otak kiri bulan lalu.

Itu perkongsian daripada bekas produk akademi Kuala Lumpur itu berhubung penyakit yang dialaminya sebelum ini.

"Penyakit ini mula dikesan ketika saya ditimpa sawan buat pertama kali, pada masa itu saya sedang beraksi dalam satu perlawanan persahabatan di Shah Alam.

"Selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Putrajaya, saya disahkan mempunyai ketumbuhan," katanya.

Tatkala beberapa penjaga gol senior lain masih mampu meneruskan karier masing-masing, Saiful Amar terpaksa mengakhiri kariernya pada usia 37 tahun.

"Sampai sekarang saya tidak berasa sebarang kesakitan ini cuma apa yang merisaukan saya ketika ini ialah kesan selepas pembedahan itu.

"Pada awalnya beberapa bahagian badan saya tidak dapat digerakkan dan otot sebelah kanan saya lebih besar daripada kiri," tambahnya.

Saiful Amar perlu menjalani rawatan susulan selama setahun dan kos rawatan tersebut dikatakan menelan perbelanjaan hampir RM18,000.

"Saya menggunakan duit simpanan tetapi disebabkan rawatan susulan ini, ia sedikit mengganggu simpanan saya.

"Saya tidak minta ini berlaku dan kalau nak bantu saya (tidak menghabiskan kata-kata)."

Meskipun terkesan dengan pembedahan yang dilakukan, dia tetap menyimpan hasrat untuk memberi sumbangan kepada bola sepak negara pada masa depan.