Menang atau kalah sudah tidak bermakna lagi buat Sang Badak, namun pengendali pasukan itu, Johnny Dominicus, tetap mahu anak buahnya mencatat kemenangan untuk dihadiahkan kepada penyokong setia mereka dalam aksi terakhir Liga Perdana bertemu UiTM FC di Stadium Likas, malam esok.

"Walaupun kami sudah kekal beraksi dalam Liga Perdana musim depan, ia tidak bermakna kami akan bermain sambil lewa, lebih-lebih lagi kami beraksi di gelanggang sendiri.

"Kami perlu menang perlawanan itu untuk dihadiahkan kepada peminat setia kami selepas mengharungi musim yang sedikit mengecewakan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan, semalam.

Johnny berkata pasukannya cukup bersedia untuk melayani kunjungan UiTM FC dan dia menjangkakan hampir kesemua kesebelasan utama ketika bertemu Kuantan FA lalu dikekalkan.

"Bagaimanapun, kami terpaksa membuat sedikit perubahan berikutan ketiadaan Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin, yang digantung perlawanan. Namun, saya masih ada pemain lain di bangku simpanan yang mampu menggalas tugas mereka.

"Selain itu, penyerang import, Muamer Salibasic, juga sudah kembali berlatih bersama pasukan walaupun belum cergas sepenuhnya. Saya mungkin menurunkan dia pada babak kedua, kami akan melihat bagaimana keadaannya esok," katanya.

Apapun keputusan malam esok, ia tidak akan mengubah kedudukan pasukan yang turut mendapat jolokan Sabah Rhinos itu.

Sabah kini berada pada kedudukan kesembilan dengan 20 mata hasil daripada lima kemenangan, lima seri dan 11 kekalahan.