Sabah dilaporkan bersedia untuk mengikat penyerang import dari Perancis, Jonathan Behe, selepas pemain itu tiba di Kota Kinabalu, malam tadi.

Pemain kelahiran Marseille berusia 27 tahun itu juga dilihat menyertai sesi latihan skuad berkenaan di Stadium Likas, petang tadi.

Difahamkan, Behe telah pun bersetuju untuk mengikat kontrak bersama Sabah dan perkara itu dijangka berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Sekiranya ia berlaku, dia akan menjadi warga Perancis ketiga yang dibawa masuk pihak pengurusan skuad Badak selepas Steve Vilmiare dan Adlane Messelem masing-masing dilantik sebagai ketua jurulatih dan pengarah sukan pasukan itu.

Behe memulakan karier sebagai pemain profesional bersama kelab Perancis, Montpellier.

Selain itu, pemain berkenaan turut pernah menyertai beberapa kelab lain, termasuk Hamburger SV di Jerman, BEX Tero Sasana FC di Thailand dan Warriors FC di Singapura.

Ketika beraksi dalam Liga Singapura, pemain yang memiliki ketinggian 187sm itu berjaya meledak 19 gol daripada 23 perlawanan.

Dalam perkembangan lain, dua pemain import sebelum ini, iaitu penyerang kelahiran Bosnia Herzegovina, Muamer Salibasic, dan pemain tengah dari Brazil, Everton Silva Santos, dijangka digugurkan daripada pasukan.

Nasib seorang lagi pemain import bagi kouta Asia musim lalu, Dedi Kusnandar dari Indonesia, juga masih samar dan kemungkinan besar akan digantikan dengan pemain lain.

Sebelum ini, pertahanan dari Croatia, Igor Cerina, mengesahkan kedudukannya dalam pasukan selepas Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) melanjutkan kontrak pemain itu untuk tempoh semusim lagi.