Jurulatih Sabah, Jelius Ating, tetap berharap pasukannya mampu mencipta kemenangan apabila berdepan Negeri Sembilan dalam Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok, walaupun ia hanya sebagai pelengkap jadual musim ini.

Katanya, skuad kendaliannya itu perlu mencatat kemenangan demi maruah pasukan, lebih-lebih lagi mereka akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Kami juga berisiko untuk jatuh satu anak tangga jika tidak bernasib baik kerana PDRM hanya dua mata ketinggalan di belakang.

"Di samping itu juga, perlawanan malam esok adalah peluang bagi pemain membuktikan kesungguhan mereka kerana kami sudah mula melakukan persiapan untuk musim depan. Pemain perlu sedar mengenai itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata beliau akan cuba menurunkan kesebelasan terbaiknya walaupun mempunyai pilihan pemain yang agak terhad.

"Beberapa pemain kami mengalami kecederaan, termasuk yang terbaru, Dendy Lowa, dan kami terpaksa ketepikan dia untuk perlawanan esok.

"Bagaimanapun, kami mendapat semula khidmat pemain tengah, Maxsius Musa, yang sebelum ini mengalami kecederaan dan besar kemungkinan Azzizan Nordin juga akan diturunkan walaupun baru pulih," katanya.

Beliau berkata kesemua pemain import, iaitu Francis Kasonde, Heo Jaenyong, Lee Gil Hoon dan Rodoljub Paunovic akan turut memperkuatkan Sang Badak, malam esok.

Sabah dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai benteng terakhir dengan dibantu tiga pertahanan, iaitu Rawilson Batuil, Kasonde dan Randy Baruh Samson.

Jaenyong, Azzizan dan Sabri Sahar pula akan mengemudi bahagian tengah dengan dibantu dua pemain di posisi sayap, iaitu Maxsius dan Jenius Karib manakala Gil Hoon dan Paunovic sekali lagi diberi tanggungjawab untuk memburu jaringan di bahagian serangan.

Sabah kini berada di tangga ketujuh liga dengan 27 mata hasil daripada lapan kemenangan, tiga seri dan 10 kekalahan.