Sabah kini bukan sahaja mahu mencapai sasaran awal untuk layak beraksi dalam Liga Super musim depan, malah berazam untuk menjulang trofi Liga Perdana musim ini.

Sehubungan itu, pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berharap skuad kendalian Jelius Ating itu tidak mensia-siakan peluang terbaik yang kini dimiliki mereka.

"Kami bekerja keras untuk sampai ke tahap sekarang, begitu banyak sekali cabaran tetapi pasukan kini sudah di persada liga dan kami tidak mahu usaha ini disia-siakan dalam lima perlawanan terakhir nanti," katanya.

"Saya yakin gelaran juara dan sasaran naik ke Liga Super musim depan boleh dicapai dengan syarat pemain terus bekerja keras."

Skuad Tambadau itu kini menghuni tangga teratas liga dengan 31 mata, satu mata di hadapan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di tempat kedua serta tiga mata mendahului UiTM FC yang kini di kedudukan ketiga.

Bagaimanapun, Sabah mampu terus menjarakkan mata dengan JDT II dan UiTM FC sekiranya mencatat keputusan baik dalam aksi akan datang kerana mereka masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Peter antara yang datang menyaksikan Tambadau menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 dalam saingan Liga Premier di Stadium Hang Jebat, Melaka kelmarin.

Kemenangan yang memberikan mata ke-31 itu menyaksikan Tambadau buat pertama kalinya menduduki takhta liga musim ini.

Sementara itu, Peter memuji semangat juang yang dipamerkan pemain Tambadau sehingga berjaya menewaskan PDRM di Stadium Hang Jebat walaupun sebelum itu mereka ketinggalan.

"Kemenangan itu adalah hasil kerja berpasukan dan semangat juang tinggi pemain," tambahnya.

"Tahniah kepada pengurusan, jurulatih, pegawai pasukan dan pemain, kita jadikanlah kedudukan pasukan sekarang sebagai penyemarak semangat untuk terus berjuang dengan gigih bagi mengharungi baki lima perlawanan."