Skuad Badak akan ke Filipina untuk mengharungi kempen pramusim sebagai salah satu persiapan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Juil Nuatim, menjelaskan skuad kendalian Jelius Ating itu akan berlepas esok dan dijangka mengadakan dua perlawanan persahabatan bertemu Global Cebu FC dan Kaya FC-Makati.

"Pada mulanya, kami merancang untuk mengadakan tiga perlawanan, namun masa tidak mengizinkan dan hanya akan beraksi untuk dua perlawanan.

"Aksi pertama ialah pada 23 Januari bertemu Global Cebu FC yang akan berlangsung di Pusat Latihan Kebangsaan PFF manakala aksi kedua pada 25 Januari bertemu Kaya FC-Makati di Stadium Binan di Laguna," katanya.

Selain itu, Juil juga mengesahkan pasukan itu akan kembali ke Kota Kinabalu pada 26 Januari, iaitu seminggu sebelum aksi pertama Liga Perdana bertemu Terengganu FC II di Stadium Likas pada 2 Februari.

Seramai 20 pemain, termasuk penyerang import baru mereka, Hector Pito Ramos, akan menyertai perjalanan mereka ke Filipina itu.