Rosle komited julang Felcra 

Oleh Penulis Jemputan 17 Disember 2017 339
Rosle komited julang Felcra 
Rosle Md Derus tidak terkilan meskipun diturunkan pangkat sebagai penolong jurulatih Felcra FC pada musim depan bagi memberi laluan kepada pengendali asing untuk membimbing kelab itu. 

Rosle mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih Felcra sejak Jun lalu daripada Yusri Che Lah yang ditamatkan kontrak. 

Namun, untuk musim 2018, dia terpaksa akur dengan kehendak pengurusan apabila mengumumkan akan menggunakan khidmat jurulatih asing bagi membimbing Felcra untuk menempuhi aksi dalam Liga Perdana bagi menggantikan Sime Darby yang menarik diri. 

Tiada kekesalan, sebaliknya Rosle masih komited dengan tugasnya untuk berbakti dengan Felcra. 

"Saya difahamkan pihak pengurusan sedang mencari jurulatih import. Buat sementara waktu ini, saya akan memainkan tugas sebagai ketua jurulatih bagi mencari dan menilai pemain baru," kata bekas anggota skuad Piala Dunia Remaja 1997 itu.  

Felcra masih menanti siapa individu luar yang akan mengisi jawatan ketua jurulatih kelab itu di samping sedang mencuba beberapa pemain untuk diikat kontrak. 

Antara yang sedang diuji adalah bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli, dan pemain pertahanan PKNS FC, Nizam Abu Bakar. 

Dalam aksi persahabatan di Arena Universiti Malaysia (UM) semalam, Felcra tumpas 1-0 kepada Kuala Lumpur hasil jaringan Ibrahim Syaiful. 

"80 peratus kuota pemain sudah terisi dan kami sedang mencari pemain-pemain tambahan untuk mengisi kekosongan posisi," ujarnya lagi. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen