Rodoljub bantu Sabah tutup tirai dengan kemenangan

Oleh Oleh Willie Jude 27 Oktober 2017 2955
Rodoljub bantu Sabah tutup tirai dengan kemenangan
Dua jaringan Rodoljub Paunovic berjaya membantu Sabah menutup tirai Liga Perdana musim ini dengan kemenangan selepas skuad dengan jolokan Sang Badak itu menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi. 

Penyerang import dari Serbia itu menanduk gol pertama Sabah pada minit ke-39 hasil hantaran Sabri Sahar bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Dua minit kemudian, Paunovic sekali lagi melakukan penyudah baik apabila meledak gol kedua, juga hasil hantaran Maxsius dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama. 

Bermula babak kedua, pelawat berjaya merapatkan jurang hasil jaringan Muhammad Fauzan Mohd Fauzi pada minit ke-46 menerusi cubaan dari luar kotak penalti. 

Pada minit ke-72, Sabah memiliki peluang baik apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Lee Gil Hoon dikasari Mohd Nasriq Baharom di dalam kotak penalti. 

Bagaimanapun, sepakan Mohd Azzizan Nordin berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Kedudukan 2-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria, meniupkan wisel penamat. 
 

Tentang Penulis

Oleh Willie Jude

Komen