Jurulatih baru Perlis, Razip Ismail, mengakui terkejut dengan hasrat Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang mahu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia ketika dia dalam rangka persiapan untuk musim depan.

Menurut Razip, dia hanya mengetahui isu berkenaan melalui media massa, malah Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman, langsung tidak memberi sebarang penjelasan kepadanya.

Walaupun bimbang perkara itu boleh menjejaskan mental pemain, Razip menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan.

Yakin isu berkenaan dapat diselesaikan, fokusnya kini hanya kepada persiapan pasukan memandangkan mereka memulakan latihan pra-musim pada minggu lalu.

"Saya tidak tahu-menahu tentang berita ini. Semalam, saya pulang dari Perlis dan tidak ada apa-apa berita yang mengatakan benda ini berlaku.

"Saya harap ia tidak benar dan kami boleh menumpukan perhatian terhadap persiapan pasukan," kata Razip.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, mengesahkan mereka masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada PFA untuk menarik diri.

Justeru, FMLLP akan menghantar surat rasmi kepada PFA mengenai pendirian sebenar mereka terhadap isu terbabit.

"Tidak ada, kami tidak dapat apa-apa lagi. Saya pun belum pasti sama ada ia adalah isu rasmi atau tidak. Bagaimanapun, kami akan menulis surat kepada PFA untuk mendapatkan pengesahan daripada mereka," kata Kevin.

Perlis menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga keenam.