Rayuan penangguhan UKM FC ditolak

Oleh Penulis Jemputan 27 November 2018 1006
Rayuan penangguhan UKM FC ditolak
Permohonan UKM FC untuk menangguhkan pengesahan penyertaan pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim depan telah ditolak oleh Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini setelah badan itu memutuskan untuk tidak mempertimbangkan permintaan tersebut. 

Ia disebabkan rayuan itu tidak mengemukakan maklumat yang baru mengenai permohonan penangguhan selain daripada yang telah dikemukakan dalam permohonan awal.

Selaras dengan keputusan tersebut, UKM disahkan tidak akan bertanding dalam Liga Malaysia 2019. 
 
“Setiap pasukan harus mengambil serius tentang tarikh akhir yang telah ditetapkan untuk setiap perkara. Mentaliti mengambil mudah perkara sebegini harus dihentikan. Industri bolasepak tempatan tidak boleh menunggu setiap kali sesuatu perlu dibuat. 

"Kejayaan industri ini adalah penting untuk kemajuan bola sepak negara dan semua yang terlibat perlu sedar bahawa perbuatan mereka tidak hanya melibatkan mereka. Ia melibatkan semua yang terlibat dalam industri ini dan membawa kesan yang jauh lebih mendalam daripada yang mereka sangka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam. 
 
Pasukan itu telah diberi masa satu bulan bagi membuat pengesahan dan berpandukan alasan yang diberikan, UKM seharusnya berkomunikasi lebih awal dengan MFL dan bukan pada tarikh akhir membuat pengesahan tersebut. 
 
“Membuat keputusan menolak rayuan ini bukan satu perkara yang mudah, namun semua yang terlibat dalam industri bola sepak Malaysia harus berterima kasih kepada Lembaga Pengarah MFL kerana tegas dan profesional dalam memelihara Liga Malaysia. 

"Keputusan seperti ini harus dijadikan pengajaran buat semua yang terlibat tapi malangnya walaupun pihak Lembaga Pengarah MFL telahpun konsisten dalam membuat keputusan berkaitan tarikh akhir, ada yang masih tidak faham, malah akan ada yang mempertikaikan keputusan yang dibuat. 

"Kalau ada yang masih belum faham, mungkin mereka perlu memahami sekarang bahawa MFL serius dalam mengubah landskap bolasepak Malaysia dan bagi yang masih tidak mahu berubah bersama, tiada lagi tempat bagi mereka di pentas Liga Malaysia.” 

Ini bermakna masih ada empat slot kekosongan di dalam Liga Perdana 2019. MFL masih menunggu pengesahan secara rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mencadangkan empat pasukan dari Piala FAM yang akan bertanding bagi musim depan. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen