Janggal!, itu yang dirasai jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidon, sebaik selesai tiga sesi latihan hari pertama di Stadium Paroi hari ini.

Negeri Sembilan muncul pasukan pertama memulakan latihan selepas tiga bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia perkara baru yang perlu diadaptasi segera walaupun ada rasa kekok di hari pertama latihan.

"Pada mulanya agak janggal. Bola sepak adalah pemain bersifat kontak dan kami perlu mengikut norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan," kata Sazali.

Negeri Sembilan membuka langkah awal bagi menjamin persediaan terbaik sebagai resolusi kepada permulaan musim yang longlai dengan empat tewas dan satu menang sahaja.

Bagaimanapun ia tidak menjamin persediaan terbaik pemain sebelum bermula saingan liga.

"Buat masa ini, latihan yang dijalankan tanpa sebarang sentuhan dan tiada perlawanan ujian dapat dijalankan. Ia merupakan sesuatu yang luar biasa bagi saya," kata pemain Negeri Sembilan, Nur Shami Iszuan Amin.

"Saya berasakan latihan yang dijalankan ini akan dilakukan sehingga tiga minggu dan latihan ke peringkat seterusnya amat diperlukan," kata pertahanan Negeri Sembilan, Muhammad Izuan Salahuddin.