PULAU PINANG 2 PDRM 1

Pulau Pinang akan kembali bersaing dalam Liga Super pada musim 2020 selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 dalam aksi terakhir Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini.


Skuad Harimau Kumbang itu berjaya kembali ke saingan divisyen teratas itu selepas menamatkan saingan di tempat ketiga walaupun berkongsi 30 mata bersama PDRM (4) dan Terengganu FC II (5) menerusi kelebihan jaringan.

Dalam aksi malam ini, Pulau Pinang bermula garang menerusi jaringan awal pemain import dari Brazil, Casagrande, pada minit kelima sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Liberia, Patrick Wleh, pada minit ke-30.

Pulau Pinang, bagaimanapun, mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Mohammad Al-Hafiz Harun pada minit ke-51 untuk kembali ke Liga Super bersama-sama Sabah yang muncul juara musim ini, selepas tersingkir ke divisyen kedua apabila menamatkan saingan di tempat terakhir dalam kalangan 12 pasukan pada 2017.

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II menamatkan saingan di tempat kedua selepas 20 perlawanan, namun tidak boleh beraksi dalam Liga Super kerana menjadi kelab ‘feeder’ kepada JDT.

Sementara itu, Sarawak berdepan risiko penyingkiran ke Liga M3 walaupun mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Selangor United di Stadium Sarawak, Kuching.

Sarawak yang menamatkan saingan di tempat ke-11 Liga Perdana, perlu bermain aksi playoff menentang pasukan naib juara Liga M3 untuk menentukan nasib mereka, sama ada terus kekal dalam divisyen kedua atau tersingkir ke liga amatur (Liga M3) itu.

Sebagai rekod, Sarawak yang merupakan juara Liga Perdana 2012, tersingkir daripada Liga Super selepas menamatkan kempen di kedudukan ke-11 dua musim lalu.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Nurshamil Abd Ghani pada minit keenam,sebelum skuad Bujang Senang bangkit menyamakan kedudukan melalui Bobby Gonzales pada minit ke-32.

Sarawak kemudian mengesahkan kemenangan menerusi jaringan kedua Bobby pada minit ke-61 dan pemain import dari Brazil, Hudson Dias de Jesus, pada minit ke-75.

-- BERNAMA