Jurulatih Felcra FC, Tracisio Pugliese, menegaskan faktor usianya yang dianggap terlalu muda buat seorang jurulatih bukan penghalang untuk membantu pasukan itu menjadi antara pencabar utama kejuaraan meskipun tampil sebagai pendatang baru Liga Perdana musim depan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Pugliese sah dilantik sebagai pengendali baru skuad Felcra untuk cabaran 2018.

Menggantikan tempat Rosle Md Derus yang dikekalkan selaku penolong jurulatih, Pugliese hadir tanpa reputasi besar meskipun sudah membimbing beberapa kelab di Brazil.

Ia merupakan pendekatan berbeza dan yang menariknya, jurulatih dari Brazil ini baru berusia 37 tahun, kurang setahun daripada usia kapten Felda United, Shukor Adan.

"Saya sentiasa mahukan peluang di luar Brazil dan saya percaya, terutama dalam projek ini bersama Felcra. Saya tidak menghadapi sebarang halangan kerana kakitangan, jurulatih, pengurusan dan pemain kesemuanya memberi sokongan yang hebat," katanya ketika .ditemui selepas aksi persahabatan di UM Arena, Sabtu lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad, mengesahkan bekas kapten Harimau Muda A, Fandi Othman, dan bekas pertahanan PKNS FC, Nizam Abu Bakar, adalah antara muka baru pasukan itu musim depan.

"Kami mengesahkan Fandi serta beberapa lagi pemain tempatan akan terus bersama Felcra. Cuma pemain import yang masih belum disahkan setakat ini," katanya.