Presiden MUSA sangkal tiket percuma sudah diedar

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Oktober 2016 3
Presiden MUSA sangkal tiket percuma sudah diedar
Pihak pengurusan Melaka United Soccer Association (MUSA) menyangkal pengagihan 30,000 keping tiket percuma perlawanan terakhir Liga Perdana di antara Melaka United menentang Sime Darby telah habis diagihkan kepada pertubuhan-pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) di Melaka.

Sehubungan itu, Presiden Melaka United, Dato Seri Ir Idris Haron, membidas khabar angin tersebut dengan menyatakan 30,000 tiket terbabit belum lagi dicetak.

Malah, pihak pengurusan masih lagi dalam proses memutuskan rekaan tiket bagi memastikan tiada pihak yang tidak bertanggungjawab dapat meniru dan mencetak tiket palsu.
  
“Pihak Pengurusan MUSA masih lagi merekacipta rekaan tiket tersebut yang mempunyai ciri keselamatan yang boleh menafikan mana-mana pihak untuk meniru tiket yang bakal kami keluarkan,” jelas beliau ketika ditemui di Stadium Hang Jebat.

Tiket percuma tersebut hanya boleh ditebus di kaunter penjualan tiket Stadium Hang Jebat pada 22 Oktober ini bermula jam 9 pagi dan seorang penyokong hanya boleh menebus dua keping tiket.

Idris turut menyatakan pihak pengurusan telah menyediakan pasukan-pasukan keselamatan untuk menjaga keselamatan Stadium Hang Jebat daripada sebarang ancaman bahaya yang tidak diingini.
    
Beliau berharap agar penyokong Melaka United datang memenuhi Stadium Hang Jebat bagi menyaksikan sendiri detik bersejarah bagi Melaka.
   

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen