Ketika semua umat islam sedang menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga, situasi berbeza buat pemain Kuching FA, Hafis Saperi, hanya meraikannya melalui panggilan video bersama keluarga selepas disahkan positif Covid-19.

Hafis yang disahkan positif Covid-19 tidak pernah sangka perlu melalui ujian calitan kerana selalu mengutamakan keselamatan dan kebersihan sejak penularan wabak tersebut.

Perkara pertama terlintas difikiran selepas keputusan ujian calitan dikeluarkan, Hafis tidak dapat membayangkan jika ahli keluarganya turut dijangkiti.

"Saya tidak pernah terfikir langsung untuk terkena penyakit itu kerana saya seorang yang sentiasa menjaga keselamatan dan kebersihan.

"Saya risau dengan keadaan ibu bapa, isteri, keluarga dan anak saudara saya", kata Hafis.

Sudah pasti bekas pemain Harimau Muda B itu belum dapat merasai ketenangan pada dirinya sehingga keputusan ujian calitan ahli keluarga dikeluarkan esok.

Ianya kesedihan berganda buat Hafis apabila sambutan Aidiladha tahun ini sangat berbeza -- tidak dapat bersama keluarga dan juga perlu bertarung dengan wabak Covid-19.

"Memang sedih, tetapi kita perlu redha dengan ketentuan Allah S.W.T., kalau dulu semasa raya kita sambut semasa PKP tetapi kita ada keluarga bersama.

"Beraya bersama keluarga adalah sangat gembira dan seronok disamping dapat meluangkan masa bersama tetapi sekarang hanya pangilan video menjadi pengubat rindu kepada keluarga tercinta," tambahnya.

Biarpun dijangkiti Covid-19, Hafis masih positif untuk menghadapi cabaran ini, selain tidak pernah meletakkan kesalahan kepada rakan sepasukannya, Paul Sambang, yang bekerja di Hospital Sentosa.

"Yang itu, kita tidak patut salahkan dia. Ini semua Allah yang tentukan.

"Kita perlu redha, penyakit ini Allah yang turunkan dan Dia juga yang meyembuhkan.Insya-Allah doa untuk saya dan kawan-kawan saya."

Sementara itu, seorang lagi pemain Kuching FA, Joseph Kalang Tie, lebih bernasib baik selepas keputusan ujian calitan menunjukkan dia negatif.

Itu satu kelegaan buatnya, namun apa yang lebih perit adalah menjalani proses kuarantin dirumah sehingga 6 Ogos depan.

Ia cabaran terbesar buat pemain berusia 33 tahun itu yang hanya mampu mendengar suara anaknya, tetapi hanya boleh melihat menerusi tingkap sahaja.

"Kebiasaan, setibanya di rumah selepas sesi latihan saya akan terus memeluk dan bermain bersama anak.

"Tetapi pada malam itu, pengurus memberi tahu ada seorang pemain dalam pasukan kami yang positive dan perlu kuantin selama 14 hari, saya terus masuk ke dalam bilik serta merta.

"Sebelum mendapat keputusan, saya sentiasa berdoa dan sangat mencabar untuk saya.

"Dalam fikiran saya, kalau saya kena biarlah saya seorang sahaja yang kena. Janganlah keluarga kita.

"Saya sangat bersyukur setelah mendapat keputusan negatife. Tidak dapat saya bayangkan.

"Saya tidak dapat terangkan perasaan rindu saya dengan anak. Hanya dapat cakap dan lihat melalui tingkap.

"Ada sampai satu tahap, anak saya nak masuk didalam bilik dan bersama-sama saya didalam bilik. Saya terpaksa cakap dekat anak saya yang 'daddy become a zombi already, jadi jangan dekat dengan daddy'," kata pemain Kuching FA, Joseph Kalang Tie.